Pilihan tanaman Penggiliran tanaman

Penilaian awal perkaitan tanaman boleh didapati dalam bagaimana setiap tanaman:[4]

  1. menyumbang kepada kandungan bahan organik tanah (SOM).
  2. membantu dari segi pengurusan perosak
  3. menguruskan kekurangan atau lebihan nutrien
  4. bagaimana ia menyumbang kepada atau mengawal hakisan tanah
  5. membiak dengan tanaman lain untuk menghasilkan turunan tanaman hibrid, dan
  6. memberi kesan terhadap jaringan makanan dan ekosistem padang di sekeliling tanaman tersebut

Pilihan tanaman sering dikaitkan dengan matlamat yang ingin dicapai oleh petani apabila menggunakan sistem penggiliran, boleh jadi matlamat tersebut termasuknya pengurusan rumpai, peningkatan ketersediaan nitrogen dalam tanah, pengawalan hakisan, atau peningkatan struktur tanah dan biojisim.[5] Apabila berbincang tentang sistem penggiliran tanaman, tanaman terbabit dikelaskan dalam beberapa cara berbeza bergantung pada kualiti yang dinilai: mengikut keluarga, mengikut keperluan/faedah nutrien, dan/atau mengikut keuntungan (sama ada tanaman kontan atau tanaman penutup bumi).[6] Pemberian perhatian yang mencukupi terhadap pengelasan keluarga tumbuhan ini adalah penting untuk tujuan seperti mengurangkan perosak dan patogen tumbuhan. Walau bagaimanapun, ramai petani berjaya menguruskan giliran tanaman dengan merancang penjujukan atau meliputi tanaman penutup bumi di sekitar tanaman tunai yang diingini.[7] Berikut merupakan pengelasan mudah berdasarkan kualiti dan tujuan tanaman.

Tanaman barisan

Banyak tanaman yang penting untuk pasaran seperti sayur-sayuran adalah tanaman barisan (iaitu, ditanam dalam barisan demi barisan yang disusun rapat).[6] Walaupun tanaman barisan selalunya yang paling menguntungkan petani, tanaman jenis ini lebih membebankan tanah.[6] Tanaman barisan biasanya mempunyai biojisim yang rendah dan akar cetek, dan hal ini bermakna tumbuhan menyumbang sisa yang rendah kepada tanah sekeliling dan mempunyai kesan terhad kepada struktur tanah.[8] Dengan kebanyakan tanah di sekeliling tumbuhan tersebut terdedah kepada gangguan dari hujan lebat dan jalan-jalan bertanah, ladang dengan tanaman barisan mengalami pemecahan bahan organik oleh mikrob dengan lebih cepat, meninggalkan kandungan nutrien tanah yang lebih sedikit untuk tumbuhan masa hadapan.[8]

Ringkasnya, walaupun tanaman barisan ini mungkin menguntungkan ladang, ia mengurangkan nutrien tanah. Amalan penggiliran tanaman wujud untuk mencapai keseimbangan antara keuntungan jangka pendek dan produktiviti jangka panjang. [7]

Kekacang

Kelebihan besar penggiliran tanaman datang daripada perkaitan antara tanaman pengikat nitrogen dengan tanaman yang memerlukan nitrogen. Kekacang seperti alfalfa dan klover mengumpul nitrogen yang tersedia dari atmosfera dan menyimpannya dalam nodul pada struktur akarnya.[9] Apabila tumbuhan dituai, biojisim akar yang tidak tertuai akan terurai, menjadikan nitrogen yang disimpan tersedia untuk tanaman masa depan.[10]

Di samping itu, kekacang mempunyai akar tunjang yang berat yang menggali jauh ke dalam tanah, mencengkam tanah untuk penggemburan dan penyerapan air yang lebih baik.

Rumput dan bijirin

Bijirin dan rumput adalah tanaman tutup bumi yang kerap digunakan disebabkan oleh banyak sumbangannya terhadap kualiti dan struktur tanah. Sistem akar yang padat dan meluas memberikan struktur yang mencukupi kepada tanah sekeliling dan menyediakan biojisim yang ketara untuk jirim organik tanah.

Rumput dan bijirin adalah kunci kepada pengurusan rumpai kerana ia bersaing dengan tumbuhan yang tidak diingini untuk ruang tanah dan nutrien.

Tanaman baja hijau

Tanaman baja hijau ialah tanaman yang dicampurkan ke dalam tanah. Kedua-dua jenis kekacang pengikat nitrogen serta penghapus nutrien seperti rumput boleh digunakan sebagai baja hijau.[9] Baja hijau kekacang adalah sumber nitrogen yang sangat baik, terutamanya untuk sistem organik, bagaimanapun, biojisim kekacang tidak menyumbang kepada jirim organik tanah yang berkekalan seperti rumput.[9]

Rujukan

WikiPedia: Penggiliran tanaman https://web.archive.org/web/20190923164709/https:/... https://time.graphics/event/2281456 https://www.worldatlas.com/articles/what-is-crop-r... https://attra.ncat.org/attra-pub/summaries/summary... https://web.archive.org/web/20150513234501/http://... http://www.cefs.ncsu.edu/resources/organicproducti... https://www.ams.usda.gov/sites/default/files/media... https://web.archive.org/web/20151004172716/http://... https://www.rhs.org.uk/advice/profile?PID=373 https://attra.ncat.org/attra-pub/viewhtml.php?id=6...